RSS

Miri ke Tuaran: Laluan Darat




Jarak perjalanan di antara Bandaraya Miri, Sarawak ke Pekan Tuaran, Sabah adalah lebih kurang 500km. Perjalanan ini perlu melalui 5 Check Point utama di antara sempadan Sarawak dan Brunei serta Sarawak dan Sabah. Ia mengambil masa lebih kurang 12 jam bergantung kepada keadaan trafik di pos-pos imegresen bagi setiap sempadan. Setiap pos dibuka seawal 6 pagi setiap hari dan akan ditutup pada jam 10 malam.

Dari Miri, dengan mengambil Lapangan Terbang Miri sebagai titik rujukan, Check Point 1 terletak 20km, melalui jalan Miri-Tudan menuju ke Sungai Tujuh. Setiap Check Point, terdapat dua pos imigresen bagi setiap negeri atau negara. bagi Check Point 1, pos imigresen Sarawak ialah Sungai Tujuh, manakala Brunei pula Kuala Belait. Kedua-dua pos ini dihubungkan dengan jambatan yang memerlukan bayaran tol iaitu sebanyak RM10 bagi sempadan Malaysia dan $B3 bagi sempadan Brunei untuk kenderaan biasa.

Dari Kuala Belait, jalan singkat menuju ke Check Point 2 adalah melalui Pekan Tutong, tanpa melalui Bandar Seri Begawan. Jaraknya adalah lebih 100km, di mana ia akan melalui Seria dan Bintudoh. Pos imigresen Brunei seterusnya dikenali sebagai Kuala Lurah yang kerap mengalami kesesakan trafik, manakala pos imigresen Sarawak pula ialah Tedungan. Adalah penting ntuk memastikan pasport dicop keluar masuk bagi setiap pos sempadan.

Melalui Tedungan, perjalanan telah memasuki semula negeri Sarawak di dalam daerah Limbang. Jarak dari sempadan ke sempadan seterusnya adalah kurang 50km, dan akan melalui bandar Limbang. Di bandar Limbang terdapat kemudahan-kemudahan biasa termasuklah hotel tempat menginap. Setelah melalui bandar Limbang, Check Point 3 seterusnya dikenali sebagai pos imigresen Pandaruan bersempena dengan Sungai Pandaruan yang menjadi sempadan negara antara Malaysia dan Brunei.

Tidak ada laluan pilihan lain untuk mereka yang berkenderaan untuk melalui sempadan ini melainkan menggunakan feri pengangkut yang mengenakan caj RM10 atau $B4. Feri ini dugunakan hanya untuk menyeberang yang hanya mengambil masa sekitar 5 minit. Ada di antara waktu operasi feri tergendala akibat hujan lebat dan banjir menyebabkan sempadan terpaksa ditutup untuk kenderaan darat.

Setelah memasuki bahagian Brunei yang dikenali sebagai Temburong, setiap pelawat perlu mendapatkan pengesahan di pos imigresen Puni yang terletak di sebelah kanan jalan, sejauh kurang 1km dari Sungai Pandaruan. Perlu dipastikan pos ini tidak dilangkau semasa dalam perjalanan. Dari Puni ke Check Point 4, akan terdapat sebuah pekan yang sesuai untuk dijadikan tempat rehat.

Laluan ke Check Point 4 juga hanya sekitar 40km lebih, menuju ke pos imigresen Labu, Brunei kemudian ke pos imigresen Merapok, Sarawak di dalam daerah Lawas. Setelah itu, sekali lagi khidmat feri diperlukan untuk melalui Sungai Trusan menuju ke bandar Lawas, dengan bayaran RM10 dikenakan. Pembinaan jambatan masih di dalam proses dan dijangkakan siap pada tahun ini.

Melalui bandar Lawas, perjalanan diteruskan sehingga ke Check Point 5 iaitu sempadan Sarawak-Sabah. Pos imigresen Mengkalap bagi Sarawak dan pos imigresen Sindumin, Sabah berada di dalam kawasan yang sama. Maka berakhirlah perjalanan melalui pos-pos sempadan. Setelah ini, perjalanan lebih lancar dengan berpandukan papan tanda menuju ke Kota Kinabalu.

Dari Sindumin, laluan ke Kota Kinabalu akan melalui pekan-pekan seperti Sipitang, Beaufort, Papar, Membakut, Kinarut dan Penampang ataupun Putatan, bergantung dengan laluan yang dipilih. Kemudian, dari Kota Kinabalu menuju ke Tuaran hanya mengambil masa 40 minit.

Perjalanan dari Miri ke Tuaran memerlukan persediaan yang lengkap dari semua segi khususnya keadaan kenderaan yang baik dan maklumat perjalanan tentang tempat-tempat yang boleh dijadikan kawasan rehat ataupun mendapatkan bekalan dan keperluan. Bandar Lawas merupakan tiik tengah bagi perjalanan yang jauh ini. Walaupun begitu, ia tetap menjadi suatu perjalanan yang menarik apatah lagi jika perjalanan diadakan secara konvoi dan dengan persediaan penuh.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment